Peserta Program Jahitan KEMAS akan Mendapat Kenaikan Elaun
Wednesday, 05 March 2008 07:31
TRONOH 17 Feb. - Peserta yang mengikuti program jahitan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan berpeluang menikmati kenaikan elaun latihan dan makanan sebanyak lima peratus mulai tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata, kenaikan elaun latihan daripada RM100 kepada RM150 bagi latihan, manakala RM9 kepada RM15 bagi makanan adalah bersesuaian dengan keperluan semasa peserta program berkenaan.Beliau berkata, kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan modal insan luar bandar apabila menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Kemas dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Katanya, peruntukan itu adalah untuk melaksanakan pelbagai bidang kemahiran iaitu jahitan, masakan dan kraftangan.
Daripada jumlah itu, menurut beliau, lebih RM5.5 juta adalah untuk Program Persijilan dan Diploma Jahitan Kemas/ Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
''Peruntukan itu adalah termasuk menyediakan peralatan, bahan pengajaran dan pembelajaran, aktiviti luar dan ko-kurikulum serta lain-lain perbelanjaan berkaitan.
''Pada tahun ini juga, elaun latihan pelatih akan dinaikkan RM100 kepada RM150 manakala elaun makan daripada RM9 kepada RM15 bersesuaian dengan keperluan semasa,'' katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Latihan Jahitan Kemas di Institut Latihan Kemas Seri Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga memperuntukan sebanyak RM80,000 bagi membayar tenaga pakar bagi membantu meningkatkan pengetahuan pelajar dari aspek komunikasi, keusahawan, teknologi maklumat, bahasa Inggeris dan pembentukan peribadi. Dalam RMK-9, katanya, kerajaan turut memperuntukan RM11 juta untuk Bantuan Ekonomi Kampung yang memberi manfaat kepada 500 usahawan desa. Bagi perancangan masa depan, Abdul Aziz berkata, KKLW melalui Kemas, Bahagian Ekonomi Desa dan Bahagian Pembangunan sedang melaksanakan pembinaan sebuah bengkel jahitan di Gopeng.
Beliau berharap, langkah itu akan menjadikan Gopeng sebagai hab pengeluaran pakaian yang direka, dijahit dan dibungkus oleh tenaga pekerja mahir yang terdiri daripada peserta kelas kemahiran Kemas dan dipasarkan oleh rangkaian pengusaha luar bandar.
''Secara tidak langsung bengkel ini akan membantu ahli keluarga miskin mendapat pekerjaan dan menambah pendapatan keluarga serta meningkatkan daya saing warga desa dalam bidang industri yang kian berkembang dan berubah mengikut peredaran masa,'' katanya.
Sumber : Berita Harian Online




