Portal Anakku di dalam Berita Harian

attention open in a new windowPDFPrintE-mail

Tuesday, 13 November 2007 10:41

Berita Harian 12 November 2007 - PENINGKATAN pelbagai permasalahan membabitkan kanak-kanak dan remaja hari ini didapati berlaku kerana kurang pemahaman di kalangan ibu bapa mengenai kaedah terbaik bagi menguruskan rumah tangga khususnya apabila memperoleh cahaya mata.

Menyedari keperluan bagi memberi maklumat kepada masyarakat khususnya ibu bapa, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melancarkan Portal Anakku Sayang yang mengandungi ilmu dan panduan kepada ibu bapa di dalam pembentukan anak yang cemerlang dari segi sosial, emosi, fizikal, intelek dan rohani.



Pada masa sama, portal berkenaan diharap dapat merapatkan hubungan jabatan dengan ahli Kelab Sahabat Kemas (KSK) dan masyarakat awam melalui Forum Komuniti Anakku dan memastikan maklumat jabatan dapat disampaikan dengan segera dan pengguna dapat memberikan maklum balas secara interaktif.

Penolong Pengarah Unit Penerbitan Kemas Ibu Pejabat, Putrajaya, Taufiq Yussof, berkata Portal Anakku Sayang ini dihasilkan daripada cetusan idea mesyuarat Kempen Ibu Bapa Cemerlang yang dipengerusikan oleh Pengarah Kemas Negeri Perak, Amiruddin Ariffin mengandungi pelbagai komponen seperti ceramah, seminar, bengkel dan portal itu adalah satu daripadanya.

"Pelbagai maklumat dan panduan yang ada di dalam portal ini seperti ruangan pemakanan dan kesihatan, pendidikan, komunikasi, psikologi, rohani serta ada juga ruangan khas untuk resipi sihat. Bukan sekadar itu, anda juga boleh menjadi ahli kepada ruangan forum Portal Anakku Sayang di www.anakku.net.my/forum, bagi memberikan input, komentar mahupun cadangan dan bersama-sama dengan ahli yang lain berkongsi ilmu dan pengalaman.

"Insya Allah pelbagai aktiviti dan program akan diatur untuk ahli portal seperti pertandingan sukan, perjumpaan, TT (teh tarik session), demo masakan dan sebagainya. Sehingga kini jumlah ahli portal anakku yang dikenali sebagai Sahabat Anakku sudah mencecah angka 155 orang dan pastinya akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya pada majlis pelancaran portal berkenaan yang berlangsung di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Acara yang diadakan ketika penutupan Majlis Kesenian Islam Kemas Peringkat Kebangsaan itu disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Saarani Muhamad; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Jamaliah Kamis dan Ketua Pengarah Kemas Malaysia, Datuk Abu Seman Awang.

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan sempena Majlis Kesenian Islam Kemas Peringkat Kebangsaan dan sumbangan orang ramai kepada keluarga mangsa kemalangan di lebuh raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang, Perak yang juga pelatih Kursus Asas Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Pusat Latihan Kemas Kepala Batas, Pulau Pinang.

Taufiq berkata, portal itu terbahagi kepada dua komponen iaitu pertama, Portal Anakku Sayang yang juga laman utama bagi pengunjung melayarinya dengan memberikan pelbagai maklumat berkaitan dengan membentuk anak cemerlang, selain membolehkan pengguna pergi ke laman forum, galeri gambar dan ke pautan yang berkaitan dengan jabatan.

Komponen kedua iaitu Forum Komuniti Anakku membolehkan moderator, ahli forum dan ahli KSK berinteraksi secara maya dan moderator yang dilantik boleh memberikan sumbangan berbentuk artikel, berita dan seumpamanya. Pada masa yang sama mempunyai kuasa untuk mengawal perjalanan bahagian forum yang dipertanggungjawabkan.

"Kami percaya, portal ini berupaya menjadi antara medium bagi ibu bapa mencari formula dan cara di dalam pendidikan anak. Melalui portal ini juga, pengunjung dapat mengetahui program dan aktiviti Kemas yang berkaitan dengan aspek keibubapaan dan kekeluargaan melalui ruangan Aktiviti.

"Sementara aktiviti yang sudah dilaksanakan pula dapat ditatap di dalam ruangan berita. Tidak lupa, galeri gambar juga disediakan bagi membolehkan pengunjung mencerap dengan lebih jelas aktiviti yang dilaksanakan di seluruh Malaysia," katanya.

Portal Anakku Sayang ini boleh dilayari melalui laman web rasmi Kemas iaitu This e-mail address is being protected from spambots, you need JavaScript enabled to view it atau terus www.anakku.net.my dan untuk galeri gambar – www.anjungkemas.com/gallery