Mengenali Personaliti Sadis

attention open in a new windowPDFPrintE-mail

Thursday, 10 July 2008 08:28

SELURUH rakyat Malaysia amat marah kepada ‘anda’ (si pembunuh Nurin Jazlin Jazimin). Tetapi sebagai seorang doktor, penulis perlu sentiasa berfikiran rasional dan mengambil sesuatu keputusan itu bergantung kepada uji kaji-uji kaji dan fakta-fakta yang tepat.

Tindakan kejam anda boleh dianalisiskan daripada pelbagai faktor. Faktor-faktor tersebut pula boleh ditafsirkan melalui dua cara (mode) iaitu dengan kaedah sepintas lalu yang biasanya cenderung terjadi dalam masyarakat yang terguris dan emosional ataupun secara ilmiah yang berlandaskan kepada ilmu agama dan psikologi.

Secara sepintas lalu, terdapat golongan masyarakat yang menganggap bahawa perlakuan seksual anda, seorang dewasa yang secara relatifnya lebih besar dan kuat jika dibandingkan dengan kanak-kanak membawa pengertian bahawa alat kelamin anda kecil.

‘Kekurangan’ yang anda miliki ini tidak berjaya mempamerkan kejantanan jika digunakan kepada wanita yang sebaya dengan anda kerana faktor saiz.

Oleh kerana kekurangan kejantanan itu, anda memilih kanak-kanak yang secara relatifnya sama saiz dengan alat kelamin anda. Apabila kanak-kanak tersebut menangis kesakitan, anda akan sangka bahawa anda telah membuktikan kejantanan anda.

Yang pastinya sangkaan anda itu tidak benar sama sekali. Oleh kerana itu, jika anda pembunuh Nurin Jazlin dan sekarang sedang merancang, memilih mangsa yang lain dan menunggu masa yang sesuai, hentikanlah rancangan anda itu.

Ini kerana segala modus operandi anda itu sebenarnya tidak akan dapat membuktikan apa-apa pun. Malah tindakan anda itu kelak akan menguatkan lagi teori ‘kekurangan’ yang anda miliki dan pastinya tidak akan mengubahkan saiz alat kelamin anda itu.

Daripada perspektif psikologi pula, modus operandi seksual anda telah dikaji dengan mendalam. Menurut The International Statistical Classification of Diseases and Related Health Problems, keinginan seksual kepada kanak-kanak, lelaki atau perempuan atau kedua-duanya, selalunya usia mangsa masih belum baligh atau awal baligh di gelar pedofilia. Pedofilia berasal dari perkataan Greek yang bermaksud pais iaitu kanak-kanak dan philia ertinya cinta, perhubungan.

Di antara tiga kategori pedofilia yang diutarakan oleh seorang psikiatris Austro-Jerman bernama Richard von Krafft-Ebing (1840 - 1902), pembunuh Nurin dikategorikan sebagai sadis. Perkataan sadis ini diambil daripada nama penulis dan aristokrat Perancis yang bernama Marques de Sade (1740 - 1814) yang amat dibenci oleh masyarakat ketika itu kerana perlakuan seksual beliau yang melampau.

Menurut American Psychiatric Association’s Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-III-R), kecelaruan personaliti sadis adalah perlakuan melampau yang berulang-ulang, berbentuk kejam, agresif dan memalukan mangsa, termasuk perkara yang berikut:

1.Menggunakan kekejaman berbentuk fizikal untuk mempamerkan dominasi mereka terhadap mangsa.
2.Minat kepada aktiviti-aktiviti berbentuk kekejaman ataupun senjata.
3.Suka menyeksa psikologi dan fizikal mangsa.
4.Menipu untuk tujuan mencederakan atau menyakitkan yang lain.
5.Memalukan mangsa di depan orang ramai.
6.Menakut-nakutkan mangsa agar mengikut cakap.

Artikel-artikel psikologi sering menggambarkan pelaku jenayah itu mengalami pembentukan dan perubahan mental yang berbentuk antisosial daripada usia kecil lagi. Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Pattterson (1982; Patterson et. al 1989) yang menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal dalam keluarga yang dianggapkan sebagai tempat pembiakan kepada tingkah laku antisosial dan permusuhan.

Anak-anak akan berinteraksi dengan ibu bapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik antisosial yang lain. Anak-anak tersebut berkemungkinan besar membawa kesan-kesan traumatik tersebut sehinggalah ke peringkat dewasa dan bakal melakukan pelbagai bentuk jenayah.

Bagaimanapun, seseorang dewasa tidak boleh menyalahkan masa lalu, berserah dan menerima sahaja pembentukan karakter mereka. Realitinya orang dewasa mampu berfikir, mempunyai hak dan kebebasan untuk memperbaiki diri sendiri agar dapat merubah unsur- unsur negatif dalam jiwa masing-masing.

Kita pasti pihak polis sedang bekerja keras untuk mencari pembunuh Nurin Jazlin.

Dalam masa yang sama, kita sebagai ibu bapa perlu menginsafi diri dan sentiasa bertanya diri sendiri, “di manakah anak kita sekarang?”

Soalan yang tampak mudah ini sebenarnya mampu membentuk ibu bapa yang sentiasa prihatin kepada tanggungjawab menjamin keselamatan, kesihatan dan pendidikan anak-anak. Dan jika tidak pun kerana peristiwa sedih ini, mungkin ada lagi anasir-anasir jahat lain yang sentiasa mengambil peluang untuk mengganggu-gugat anak- anak kita.

Jika kita sentiasa bertanya, “di manakah anak kita sekarang?” isu-isu seperti mat rempit, bohsia, pengambilan dadah atau ekstasi, gengsterisme dan ponteng sekolah di kalangan anak-anak dapat dikurangkan. Ini kerana kebanyakan isu kepincangan sosial ini bermula daripada ibu bapa yang tidak mengambil peduli dan lupa kepada tanggungjawab asas mereka.

Kita juga perlu memastikan atmosfera kekeluargaan kita kondusif dan tidak menjadi tempat pembentukan psikologi anak-anak yang songsang seperti anti- sosial dan permusuhan. Realitinya, corak-corak inilah yang akan menentukan pembawaan diri dan karakter mereka apabila dewasa kelak, yang membezakan di antara orang dewasa yang berhemah tinggi, kuat pegangan agama dan mematuhi undang-undang ataupun orang dewasa yang bersifat jenayah dan sampah masyarakat seperti pembunuh Nurin.

Firman Allah s.w.t. bermaksud, Sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqarah:81).

Oleh: DR. NOVANDRI HASAN BASRI
Utusan Online