Jika bayi anda menyebut ”wo, ma, pa, la, na, ti... ” Apa maksudnya ?
Thursday, 25 October 2007 11:02
Kita sering terdengar, menyaksikan atau ada yang lebih bertuah lagi mengalami sendiri bayi anda mengucapkan sesuatu seperti ”wo, ma, pa, la ti” dan banyak lagi. Kita mungkin tersentak sejenak, ”Apa maksudnya ?”. Ada yang risau dan tak kurang juga yang gembira dengan fenomena ini. Semua perlakuan yang dibuat oleh bayi mempunyai makna yang tersendiri, sebenarnya ”ocehan” atau ucapan kata dan sebutan yang dikeluarkan oleh bayi itu menandakan bahawa bayi anda cerdas dan dalam proses belajar berbahasa.
Sebutan yang mungkin bagi kita tidak bermakna sebenarnya merupakan proses pembuktian oleh bayi anda bahawa mereka tengah cuba berinteraksi dengan anda. Dalam usia lima hingga tujuh bulan, fenomena ini akan acapkali dialami oleh para ibu bapa. Mengikut seorang pakar bahasa Mabel Rice dari University of Kansas, sebutan pelbagai bunyi yang beliau kategorikan sebagai ”ocehan”, sebenarnya peringkat awal dalam pembelajaran bahasa. Walau bagaimanapun, semakin meningkat usia seseorang bayi maka, sebutan yang mereka keluarkan itu semakin jelas sehinggalah membentuk satu kata dan ayat yang boleh kita fahami.
Kenyataan ini disokong oleh seorang lagi pakar bahasa dari Department Speech and Hearing University of Washington Seattle iaitu Patricia Kuhl. Beliau menyatakan bahawa bayi perlu mentransformasikan bunyi percakapan orang di sekelilingnya dengan kemampuan sebutan vocal dan konsonan mereka. Dalam hal ini mereka akan cuba mengeluarkan bunyi pada frekuensi yang mampu dicapai oleh mereka. Ini bermaksud, bunyi yang mampu mereka keluarkan hanyalah bunyi atau suku kata yang mudah dengan gabungan beberapa vocal dan konsonan seperti “mi, la, na, pa” dan banyak lagi. Agungnya kekuasaan Allah S.W.T yang mencipta manusia, pada peringkat kecil seperti bayi lagi mereka sudah mampu membuat analisis bunyi dan percakapan biarpun pada peringkat asas untuk disesuaikan dengan kemampuan mereka berucap.
Akhir sekali seorang ahli psikologi dari New York University, iaitu Gary Marcus menyatakan setiap bayi mempunyai alat pembelajaran yang hebat terutamanya bahasa. Beliau menjalankan penyelidikan dan ujian ke atas 45 orang bayi lelaki dan perempuan melalui ujian pendengaran bunyi beberapa suku kata mudah dengan kerdipan cahaya merah yang akan berkelip mengikut bunyi yang dikeluarkan oleh pembesar suara. Beliau mendapati bahawa hampir kesemua bayi tersebut memberikan perhatian yang teliti terhadap bunyi yang dikeluarkan buat pertama kali kerana mereka cenderung mendengar lebih lama. Mereka juga akan memerhati kerdipan lampu di hadapan mereka jika bunyi yang mereka dengar menarik dan pernah didengari sebelum ini.
Ini membuktikan bahawa proses penyebutan dan penglihatan saling berkaitan. Kita boleh perhatikan bahawa proses mengenal objek menjadi lebih mudah jika sekiranya disertai dengan bunyi. Maka, tidak hairanlah jika seorang bayi boleh menyebut ”mama” dengan setelah berulang kali kita menyebut kata ”mama’ dengan mendukung atau menyentuh seseorang bayi. Seperti kata seorang pakar bahasa Noam Chomsky, bayi belajar dengan mendengarkan kata-kata di sekelilingnya. Ini kerana mereka mencerap bunyi yang mereka dengar sebanyak mungkin. Uniknya semua insan yang bernama manusia berpeluang menikmati pengalaman ini dalam lingkungan umur lima hingga tujuh bulan jika diizinkan oleh Allah S.W.T.




