Kaedah Mudah Berinteraksi Dan Memberi Rangsangan Kepada ANAK

attention open in a new windowPDFPrintE-mail

Wednesday, 07 November 2007 08:10

Pernahkah anda terfikir bahawa personaliti seseorang itu mula terbentuk dari peringkat bayi atau lebih tepat dari peringkat janin lagi? Mungkin ungkapan ”anak yang dilahirkan umpama kain putih” sering kita dengar, tetapi pernahkah kita berfikir sejenak kenapa ungkapan seumpama ini wujud dan menjadi kata-kata keramat di kalangan umum?  Secara lahiriahnya setiap anak yang dilahirkan dengan izin Allah SWT dan limpah kurnia-Nya memang dilengkapi dengan pancaindera dan mampu berinteraksi dengan alam sekeliling apatah lagi dengan ibu bapanya sendiri.  Sungguhpun begitu, masih ramai di kalangan kita yang beranggapan bahawa bayi yang dilahirkan itu pasif dan tidak berupaya berbuat demikian apatah lagi mengenali ibu bapa mereka sehingga perlu diajar dengan serius.

Walaupun pada masa kini kita sering terbaca artikel bahawa bayi mampu menghasilkan reaksi atau tindak balas kepada persekitaran biarpun baru dilahirkan namun, masih ada lagi bertanya mengenai cara yang betul dan berkesan dalam merangsang anak mereka.   Jawapan kepada persoalan ini ialah kita perlu mengetahui bahawa semua orang memiliki keupayaan kognitif iaitu kemampuan untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu walaupun dalam keadaan tidak sedar. 

Keupayaan inilah yang perlu ibu bapa rangsang agar setiap bayi atau lebih tepat lagi anak mereka boleh membesar dengan sempurna.  Ibu bapa bertanggungjawab menyediakan persekitaran yang sihat dan penuh dengan rangsangan.  Sebagai contoh yang mudah jika kita berkemampuan, bilik atau ruang tempat tidur bayi boleh dicat dengan warna-warna lembut untuk membina suasana yang tenang.  Selain itu, kita boleh juga iringi tidur anak anda dengan alunan muzik-muzik instrumental seperti bunyi deruan ombak, air mengalir atau kicauan burung yang lembut dan mendamaikan. Bagi yang muslim pula, amalan nenek moyang kita seperti dodoi semasa menidurkan anak boleh diamalkan.  Sebaliknya, mereka yang tahu senandung fatihah, surah-surah lazim atau sebarang surah alunkanlah bacaan surah tersebut semasa menidurkan anak anda.  Langkah ini bukan sahaja mampu merangsang pendengaran, mengikat kasih anda dengan anak tetapi juga mampu memperteguh kerohanian.

Selanjutnya, masa yang baik bagi memberi rangsangan ialah pada peringkat bayi lagi. Ini kerana semakin awal rangsangan kita berikan maka, semakin baik kesan yang mereka peroleh.  Melihat akan kelakuan anak-anak pada usia bayi seperti tidur, menguap, menangis dan memerhati menandakan mereka cuba memberikan kita gambaran masa yang sesuai untuk rangsangan.  Insan yang bernama ibu bapa amat bertuah kerana dalam jangka masa yang tertentu mereka dapat menjangkakan masa celik, rehat atau lapar anak mereka.  Pengalaman seumpama ini perlu kerana had rangsangan yang harus diberikan perlu mengikut tahap kemampuan bayi.  Sebagai contoh yang mudah, jika sekiranya anak anda sering memerhatikan muka anda sewaktu celik, anda harus berinteraksi dengan melafazkan ungkapan-ungkapan manis dan sayang kepada mereka.  Ungkapan yang dimaksudkan termasuklah seperti ”anak ayah sayang, apa khabar?” atau ”ibu sayang kamu”. 

Bagi mereka yang bekerja jangan lupa untuk memberikan salam kepada mereka setiap kali anda baru balik dari pejabat dan mendukung mereka.  Tetapi jangan mengejutkan bayi anda sewaktu mereka sedang berehat atau membangunkan mereka untuk memberikan rangsangan.  Perbuatan ini boleh menjejaskan mental dan kesihatan mereka.Sebaliknya ibu bapa harus mampu untuk meluangkan masa biarpun sedikit jika terlalu sibuk untuk bergurau dengan anak seperti mencium mereka di dahi atau di pipi sambil tersenyum memandang mereka.  Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak pula, mereka mendapat ”bonus” dalam memberikan rangsangan anak.  Ini kerana pelbagai aktiviti bersama boleh dibuat seperti mengusap ubun-ubun bayi, memegang tangan mereka atau berinteraksi sambil menyusukan anak.  Mungkin ada yang pernah mengalami pengalaman bayi anda tidak mahu tidur apabila disusukan oleh orang lain biarpun telah didukung.  Ini kerana suhu badan, aroma badan dan cara pegangan atau urutan serta usapan setiap individu adalah berbeza. 

Cuba kita fikirkan sejenak, fenomena ini dan kaitannya dengan rangsangan adalah amat rencam sekali.  Menangis apabila didukung oleh orang lain kecuali mereka yang terdekat dengan mereka pula membuktikan mereka cuba berinteraksi melalui bunyi-bunyi yang mampu mereka hasilkan.  Satu perkara yang perlu diingati oleh setiap bakal dan mereka yang sedang bergelar ibu bapa iaitu jangan mengharapkan “keajaiban” pada bayi anda sewaktu berinteraksi dengan mereka.   Ini kerana sifat ingin melihat perkembangan anak-anak yang terlalu mendesak akan menyebabkan kesan negatif pada bayi anda dan membawa kekecewaan pada anda.  Rangsangan harus mengikut tahap kemampuan mereka dan jangan terlalu mendesak sehinggakan tidak ada ruang untuk bayi anda berehat dan berasa tenang. 
Di samping itu, jarak antara mata anda dengan wajah bayi harus ”seimbal” dalam memberi rangsangan.  Ini penting agar bayi dapat memandang anda dan mampu mendengar ungkapan yang dilafazkan pada mereka dan sebaliknya. 

Sebagai latihan, cuba bercerita atau berbual dengan anak anda sewaktu memandikan mereka, sewaktu menukar lampin atau sewaktu mengurut anggota badan mereka sebelum menidurkan bayi.  Urutan yang lembut dengan iringan kata yang lembut akan membantu tumbesaran anak dengan cepat di samping pemberian zat pemakanan yang betul, rehat yang cukup dan seimbang.  Elakkan membiarkan anak anda menangis seorang diri kerana ini tidak membantu dalam mengembangkan kognitifnya dan boleh menjadikan pengabaian ini sebagai satu kebiasaan bagi mereka.  Menangis bagi seorang bayi membawa interpretasi yang tersendiri seperti sakit, lapar, mereka tidak dapat menerima kehadiran orang di sekeliling mereka atau tidak selesa dengan persekitaran tempat tersebut. Dewasa kini ramai yang tidak mengindahkan muzik klasik.  Kononnya ketinggalan zaman dan tidak mengikut peredaran masa.  Mungkin kita terlupa bahawa setiap ciptaan Allah SWT itu sememangnya ada manfaatnya.

Tidak salah bergerak maju seiring peredaran masa tetapi dalam kes memberi rangsangan kepada janin atau bayi muzik klasik amat berkesan.  Menurut seorang profesor muzik di Kolej Muzik Kunitachi, Jepun menyatakan bahawa muzik klasik adalah penting untuk membesarkan anak-anak.  Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan beliau, muzik tersebut mempunyai tiga kesan positif kepada ibu dan bayi. Pertama, muzik klasik membantu menghasilkan gelombang alpha otak yang mana kita memilikinya ketika sedang santai atau merasa selesa.  Oleh kerana janin amat dipengaruhi oleh keadaan ibu, rasa relaks, tenang dan selesa semasa mendengar muzik klasik akan memberi kesan positif kepada bayi.  Kesan positif kedua ialah muzik klasik turut membantu perkembangan otak janin kerana ia boleh mendengar walaupun berada di dalam air. Ini bermaksud bahawa memainkan muzik untuk janin, akan memberi rangsangan kepada otak untuk berkembang dengan lebih baik.  Kesan ketiga pula ialah membantu ibu mengeluarkan lebih banyak hormon yang diperlukan oleh janin juga bagi diri sendiri. 

Malah, kajian terbaru juga mendapati muzik klasik adalah antara jalan yang paling sesuai untuk bayi bersedia menghadapi masa hadapan.  Perlu dijelaskan di sini kesannya mungkin berbeza mengikut keadaan dan individu serta cara kita mempersembahkan muzik itu kepada bayi.  Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya kesan yang diterima oleh bayi itu amat positif.  Kita mungkin sedar bahawa kemajuan sains dan teknologi yang sangat pesat sekarang ini telah membawa kita kepada pelbagai pilihan makan khasnya bagi bayi.  Bukan setakat jenama malah harganya juga berbeza-beza mengikut jenama dan kandungan makanan yang diformulasikan itu. 

Pemberian makanan yang baik, halal, berkualiti amat perlu untuk membantu kognitif apatah lagi bagi perkembangan bahasa seorang bayi.  Menurut kajian Prof Mark Rosenweig dari U.C.L.A di Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa makanan yang mengandungi zat seimbang dapat membantu “ramisaraf dendrit” anak. Mungkin secara saintifiknya sukar bagi kita untuk memahami tidak balas yang dimaksudkan di sini tetapi kesan yang dimaksudkan itu boleh diumpamakan dengan sebatang pokok.  Jika kita mahu pokok itu mengalami pertumbuhan ranting yang baik maka, kita harus memberikan zat makanan dalam bentuk baja.  Oleh yang demikian, dalam hal ini ”ramisaraf dendrit” boleh disamakan sebagai ranting yang memerlukan zat makanan atau nutrien saraf agar dapat tumbuh dengan baik.  Jika nutrien tidak cukup maka ramisaraf dendrit tidak dapat tumbuh dengan baik dan mengganggu  kesempurnaan sel neuron.  Semakin banyak ranting dalam sebatang pokok maka semakin kukuh pertumbuhan pokok itu dan sebaliknya.  Bagi konteks manusia, nutrien saraf yang cukup menjamin pertumbuhan sel neuron badan yang sempurna.Kajian lain oleh Dr. W.H Schuessler, seorang lagi pakar biokimia berbangsa German menyatakan bahawa saraf di otak memerlukan beberapa nutrien atau zat tertentu untuk dapat berfungsi dengan sempurna. Nutrien atau zat yang sesuai untuk otak ialah jenis garam tisu biokimia. 

Tidak dinafikan bahawa pergerakan dan persekitaran mendedahkan ibu dengan kuman yang boleh memberi kesan kepada bayi sebelum dilahirkan. Walaupun demikian, rahim bertindak melindungi bayi dari kuman. Selepas kelahiran, perlindungan kepada bakteria dan parasit diperoleh pula dari susu ibu. Beberapa bahan dalam susu ibu bukan saja berupaya menentang penyakit tetapi sesetengahnya menguatkan lagi pembentukan sistem imun bayi. Ia memberi kesihatan yang baik kepada bayi walaupun selepas dia tidak lagi menyusu.Ini kerana susu ibu memiliki ramuan terbaik untuk pertumbuhan bayi dari jumlah asid lemak, laktosa, air, asid amino untuk pencernaan, pertumbuhan minda bayi dan mengandungi antibodi. Selain membantu perkembangan retina dan memberi perlindungan kepada sistem saraf tengah bayi. Ia juga membawa enzim pencernaan yang membantu bayi mencerna nutrien dalam susu. Justeru, ini berupaya memberi bayi imuniti terhadap jangkitan dan penyakit seperti otitis media, pneumonia, mengurangkan masalah jangkitan darah dan radang otak.

Malah dalam satu kajian di Denmark mendapati bahawa susu ibu memberi kesan pada pembentukan minda dan meningkatkan perkembangan kognitif bayi dan bahasa bayi kelak.
Kajian mengesahkan bahawa nutrien dalam susu ibu dan genetik mempunyai kesan terhadap IQ. Bayi yang tidak mendapat susu ibu akan lebih menyebabkan IQ mereka rendah, tahap pencapaian pendidikan rendah dan lemah dalam pergaulan sosial.  Jika sekiranya ada ibu yang malu menyusukan anak hanya kerana takut kepada perkara yang karut seperti takut susuk tubuh berubah,geli dan sebagainya, tanpa mereka sedari salah satu daripada  keistimewaan, nikmat atau lebih tepat lagi pengalaman mereka menjadi ibu sudah hilang.   Peluang menjadi ibu dan bapa tidak semua insan miliki.

Jika Allah SWT  izinkan dan ada rezeki seseorang insan itu akan berpeluang mengalami semua yang dibincangkan tadi tapi jika tidak kita sendiri pun tidak mengetahui kerana takdir, rezeki, umur, maut dan banyak lagi hanya Allah SWT Yang Esa sahaja yang mengetahuinya.  Jadi terimalah semua pengalaman yang bakal anda terima dengan hati terbuka, sabar dan ikhlas kerana ia pasti menjadi pengalaman yang berharga dalam hidup anda kelak.