Penderaan Anak

attention open in a new windowPDFPrintE-mail

Wednesday, 07 November 2007 08:21

Perkataan penderaan sering kita dengar dari media elektronik atau melalui pembacaan bahan-bahan bercetak.  Pada hakikatnya penderaan boleh kita bahagikan kepada dua kategori iaitu penderaan fizikal dan penderaan mental.  Terdapat perbezaan yang sungguh besar antara kedua-dua jenis penderaan ini.  Sebagai contoh, penderaan fizikal akan meninggalkan kesan serta merta yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian anggota badan atau melalui pemeriksaan kesihatan oleh badan perubatan. 

Manakala penderaan metal pula kesannya tidak dapat dilihat melalui pemeriksaan fizikal anggota badan kerana impak daripada penderaan ini hanya dapat dilihat pada perilaku, emosi atau personaliti seseorang yang telah didera itu.  Isu penderaan  ini bukan hanya melibatkan kanak-kanak sahaja malah, turut melibatkan golongan dewasa sehingga menjadi isu global. 

Walau bagaimanapun, isu penderaan kanak-kanak adalah lebih serius dan perlu diambil perhatian kerana melibatkan mangsa yang masih kecil dalam usia yang terlalu muda.  Bentuk penderaan yang paling lazim dilaporkan kepada profesion perubatan adalah penderaan fizikal dan penderaan seksual.
Jika diteliti secara satu persatu jenis-jenis penderaan yang telah dilaporkan, penderaan emosi sering diabaikan walaupun penderaan ini kadang kala berlaku seiring dengan penderaan yang lain.  Penderaan emosi kerap terjadi dengan tidak ketara tetapi kesannya terhadap perkembangan fizikal dan mental di kalangan kanak-kanak sangat jelas sehingga memerlukan rawatan perubatan.

Penderaan emosi sukar atau lebih tepat lagi tidak dapat dikenal pasti dengan mudah kerana tidak ada definisi khusus dan menyeluruh yang boleh diterima pakai di peringkat nasional atau antarabangsa. Keadaan ini menyukarkan pihak-pihak yang berwajib dan individu yang lain untuk bersetuju tentang maksud penderaan emosi.

Pada masa kini, lima kategori sikap tingkah laku buruk ibu bapa yang mampu dikelaskan sebagai penderaan mental iaitu :-
1.       Penolakan,
2.       Pengasingan,
3.       Menakutkan,
4.       Sikap tidak peduli dan
5.       Sikap merasuah fikiran.

Penolakan berlaku apabila ibu bapa atau individu yang terlibat tidak menerima kehadiran individu yang lain.  Penolakan ini melibatkan ketidaksudian penerimaan individu secara total yang akhirnya menyebabkan individu yang terbabit menjadi mangsa.  Selalunya penolakan ini dilakukan secara sedar kerana sesuatu perkara silam atau yang tidak boleh dilupakan oleh individu terbabit.  Pengasingan pula mempunyai ciri yang hampir sempurna dengan penolakan.  Ini kerana kedua-dua ciri penderaan ini saling berkait dan boleh mendahului antara satu dengan yang lain. 

Pengasingan berlaku apabila pihak ibu bapa atau mereka yang hampir dengan anak itu tidak membenarkan anak yang terlibat bergaul dengan pihak tertentu.  Ini berpunca daripada kerisauan, kemarahan atau ego dengan pendirian sendiri berkenaan sesuatu topik.  Sebaliknya tingkah laku ibu bapa yang suka menakutkan anak akan menyebabkan anak sentiasa mengalami fobia terhadap sesuatu aspek, situasi atau benda. 

Lazimnya ibu bapa berbuat demikian untuk mengawal tingkah laku anak agar menuruti kata mereka.  Bagaimanapun terdapat juga ibu bapa yang mengancam anak-anak terbabit agar tidak melakukan sesuatu perbuatan yang mereka tidak ingini.  Selanjutnya sikap tidak peduli selalunya membawa kepada pengabaian anak-anak.  Sikap tidak peduli atau acuh tak acuh menyebabkan anak yang terlibat merasa terabai dan tidak mendapat perhatian.  Mereka kerap kali memberontak dan membuat pelbagai karenah yang tidak menunjukkan jati diri  asal.  Sikap yang terakhir iaitu merasuah fikiran oleh ibu bapa kepada anak akan menyebabkan anak hilang kepercayaan diri serta keyakinan pada hakikat realiti situasi yang sebenar.  Ini menyebabkan mereka terikut-ikut dengan apa yang dikhabarkan tanpa menilai hakikat yang dikhabarkan. 

Hasilnya anak yang menjadi mangsa dalam situasi ini akan mengalami tekanan mental kerana fikiran mereka tidak tenang dan daya fokus hilang.
Berdasarkan lima tingkah laku tersebut di atas, jika salah satu daripadanya dilakukan pada anak-anak anda maka anda tergolong sebagai salah seorang “pendera mental anak-anak”.  

Kesan kepada tingkah laku tersebut jika berlaku secara berterusan ke atas mereka ialah anak-anak tersebut akan berhadapan dengan risiko kecacatan psikologi dan emosi.  
Definisi yang dijelaskan di atas ini bergantung pada tahap perkembangan kanak-kanak dan hanya digunakan dalam konteks antara orang perorangan sahaja. Namun, kelima- lima kategori sikap tingkah laku buruk ibu bapa atau penjaga kekal anak boleh berlaku dalam keluarga normal dan tidak normal.  Situasi ini bertambah buruk lagi terutamanya dalam suasana kekeluargaan yang pincang dan hambar. 

Walaupun ada pakar psikologi yang berpendapat bahawa penderaan emosi bermula dai keluarga yang pincang, namun hakikatnya berdasarkan laporan kes yang ada hingga hari ini penderaan emosi boleh terjadi tanpa mengambil kira status ibu bapa, masalah keluarga, keadaan ekonomi dan lokasi. Justeru selaku insan yang termasuk dalam kategori dewasa, kita wajib memastikan bahawa  penderaan emosi akibat rentetan masalah dan konflik sendiri tidak menyebabkan penindasan dan penyeksaan seperti penderaan kepada anak-anak di rumah.  
Sifat sayangkan anak dan insaf harus sentiasa semarak dalam diri ibu bapa. 

Setiap ibu bapa diamanahkan untuk menjaga dan membesarkan anak-anak mereka dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan dan sekiranya ada ibu bapa yang masih melakukan penderaan maksudnya mereka telah mengingkari amanah yang disampaikan kepada mereka selama ini.  Impak penderaan yang kita lakukan pada masa kini mungkin lambat atau tidak dapat dilihat pada masa kini kerana penderaan pada anak-anak boleh diumpamakan seperti setitis air yang jatuh ke batu secara kerap dan berlanjutan akan menghasilkan lekuk, rekahan dan lama-kelamaan batu itu akan pecah sekali ia pecah adalah mustahil untuk semua serpihan batu itu dicantumkan semual.  Begitulah juga natijahnya penderaan pada kanak-kanak. 

Mangsa dera akan menunjukkan pelbagai masalah sosial, emosi dan pembelajaran yang serius, lebih daripada kesan umum dalam persekitaran mereka jadi sayangilah dan hargailah keluarga anda dengan sewajarnya.  Pengabaian dan penderaan bukanya penyelesaian masalah kerana mangsa penderaan akan menyebabkan zuriat yang dihasilkan itu kehilangan jati diri kelak dan tidak dapat menyumbang kepada negara. 

Bagi kita yang tinggal di Malaysia sememangnya amat bertuah kerana isu penderaan emosi ini dan juga penderaan yang lain masih dianggap serius oleh banyak pihak. Terdapat beberapa talian bantuan yang boleh dihubungi bagi melaporkan atau memohon bantuan bagi kes penderaan ini seperti :-
  • Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) 03-7956 3488
  • Pusat Krisis Wanita ( WCC, Pulau Pinang) 04-228 0342
  • All Women Action Society of Malaysia (AWAM) 03-7957 0224
  • TELEDERA 1-800-883040
  • BEFRIENDERS 03-7956 8144
  • P.S. The Children 03-74931303
Membantu melaporkan penderaan yang kita lihat dan sedari bukan bermakna “jaga tepi kain orang” tetapi selalunya penderaan berlaku tanpa disedari oleh kita sendiri kerana mengikut nafsu amarah yang sedang meluap.  Renungkanlah...