Solat perisai keruntuhan akhlak anak-anak
Thursday, 10 July 2008 08:49
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: Hendaklah kamu berkahwin dengan wanita yang subur dan tidak mandul kerana pada hari Kiamat kelak aku berbangga dengan kamu sebagai umat yang paling banyak jumlahnya. (Riwayat Abu Daud).Sememangnya memiliki zuriat menjadi idaman setiap pasangan yang berkahwin. Bagaimanapun, dalam kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), isu keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja menjadi topik hangat yang diperbahaskan termasuk oleh kepimpinan negara.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HAYAT SUEET menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zainab Ismail untuk mengupas hal ini.
UTUSAN MALAYSIA: Apabila membicarakan soal keruntuhan akhlak, kita tidak boleh lari daripada isu pematuhan kepada ajaran Islam. Apakah kaedah yang diterapkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak?
DR. ZAINAB: Islam memberi penekanan yang khusus kepada ibu bapa dalam bab mendidik anak-anak. Ini ditegaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w: Setiap anak yang dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih), ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam mendidik ini, sudah pasti yang penting ialah keperluan ilmu kepada ibu bapa. Yang kedua, ialah mempunyai kaedah atau teknik mengaplikasi pendidikan anak-anak.
Hari ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan tentang keruntuhan akhlak dan moral terutama golongan remaja yang terlibat dalam penagihan dadah, pergaulan bebas dengan bukan mahram dan terbaru, isu ‘mat rempit’. Soalnya, mengapa ia berlaku?
Dalam perspektif sosiologi, hal-hal tersebut berlaku disebabkan kepincangan sistem keluarga.
Islam menetapkan beberapa pendekatan dalam mendidik anak. Asas utama ialah pengabdian diri kepada Allah iaitu melalui amalan solat. Ini dijelaskan oleh Rasulullah: Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak bersembahyang. (Riwayat at-Tirmidzi).
Pukul adalah elemen pencegahan utama dalam Islam. Ia digunakan bukan semata-mata bertujuan menyakitkan tetapi menunjukkan kuasa yang diberi kepada ibu bapa untuk mendidik anak-anak.
Apakah pendekatan yang sering diamalkan dalam mendidik anak?
Terdapat beberapa model pengasuhan anak-anak. Antaranya ialah tumpuan kepada kawalan emosi, terlalu mengongkong dan terlalu mengawal. Anak-anak akan dipaksa mengikut kemahuan ibu bapa dalam banyak hal termasuk hobi, siapa kawan mereka dan juga kerjaya.
Dengan kata lain, anak-anak tidak ada pilihan. Keadaan ini boleh membantutkan perkembangan anak-anak. Disebabkan selalu dikongkong, golongan ini lebih mudah terdedah kepada kejutan budaya apabila bersendirian menghadapi suasana mencabar dalam masyarakat.
Kaedah kedua ialah banyak mengelak (avoidance) dan tidak peduli kepada anak-anak. Ibu bapa begini berasakan adalah mencukupi dengan memberi makan, minum dan pakaian tanpa memerhatikan aspek psikologi anak. Ini menyebabkan anak-anak tidak merasa mereka dihargai.
Ibu bapa dalam kategori ini lebih suka menyerahkan tugas mendidik anak kepada pihak lain seperti guru-guru sekolah atau ustaz dan ustazah. Namun, seperkara yang perlu kita ingat ialah sejauh mana pihak lain boleh memberi perhatian kepada anak kita berbanding ibu bapa sendiri. Pendek kata, ada ruang vakum dalam hubungan begini menyebabkan tiada kemesraan dalam hubungan ibu bapa dan anak-anak.
Model ketiga ialah penerimaan. Ibu bapa menerima anak mereka seadanya. Tidak mengongkong atau memaksa anak sebaliknya mengamalkan konsep musyawarah walaupun kadang kala sudah pun mempunyai keputusan tentang sesuatu hal. Model ini adalah yang terbaik kerana anak-anak akan berasa mereka dihargai serta pandangan mereka juga diterima.
Bagi anak-anak yang masih kecil, kita boleh memukul jika mereka membuat kesalahan. Bagaimana
pula jika anak yang sudah dewasa?
Memanglah kadang kala timbul persoalan bagaimana berhadapan dengan kerenah anak yang sudah dewasa tetapi masih melakukan perkara yang dilarang Allah atau pun terlibat dengan jenayah.
Menangani anak dewasa ini perlu berdasarkan keadaan. Jika ia boleh mendatangkan mudarat kepada ibu bapa dan keluarga seperti penagihan dadah tegas dan jenayah berat, elok diserahkan sahaja kepada pihak berkuasa.
Jika hanya melibatkan diri anak itu contoh masalah lari dari rumah atau pergaulan bebas, mereka ini mungkin boleh diberi sesi kaunseling, khidmat nasihat serta bimbingan dan pembersihan jiwa.
Ia bagi menyedarkan mereka tentang tanggungjawab dan mengatasi apa juga yang terbuku dalam hati mereka.
Sesi tersebut ini juga ada manfaatnya kerana ia kadang kala turut menyedarkan ibu bapa selain anak tentang kesilapan masing-masing. Seterusnya berusaha membaiki keadaan.
Semua ibu bapa mahukan anak yang baik dan soleh. Apakah cara mencapai matlamat tersebut?
Asas utama dalam mencegah anak daripada terlibat dalam kegiatan negatif ialah pendidikan di peringkat awal iaitu semasa anak masih kecil. Ini berbalik kepada hadis Rasulullah yang menyuruh ibu bapa memukul anak yang tidak solat apabila umur mereka 10 tahun.
Solat adalah asas penting yang menjadi benteng mencegah kemungkaran. Ini ditegaskan dalam firman Allah: Solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut: 45)
Adalah dibimbangi jiwa ‘kosong’ individu yang tidak bersolat itu akan dipenuhi dengan hasutan syaitan yang menyuruh manusia melakukan maksiat dan kejahatan.
Untuk menjadi manusia yang berakhlak mulia dan sentiasa mematuhi perintah Allah, perkara utama yang perlu dijaga ialah hati atau jiwa. Ini kerana hati adalah punca segala-gala.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w: Di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu, baiklah orangnya. Jika jahat daging itu, maka jahatlah dia. Itulah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Selain itu, ibu bapa juga mesti menetapkan matlamat yang serupa dalam mendidik anak. Contohnya, jika bapa memberi tunjuk ajar maka ibu perlu memberi sokongan. Begitulah sebaliknya. Jangan sekali-kali menceritakan keburukan atau kelemahan si bapa atau ibu kepada anak-anak. Pendek kata, suami isteri perlu sehaluan jangan menampakkan percanggahan.
Satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah jangan disebabkan anak-anak, ibu bapa bergaduh. Suasana tidak harmoni ini boleh menyebabkan perasaan anak-anak tertekan. Apabila ini berlaku, mereka akan mencari jalan keluar selalunya dengan bersosial dengan rakan sebaya.
Pengaruh rakan ini sangat hebat kerana kajian saya terhadap penagih tegar misalnya mendapati antara sebab kembali menagih ialah pengaruh kawan iaitu penagih yang lain.
Ibu bapa juga jangan takut menghukum anak. Rasulullah sendiri pernah bersabda: Jika anaknya Fatimah mencuri, aku tetap akan memotong tangannya. Ini adalah ketegasan Rasulullah walaupun terhadap anak kesayangannya jika melakukan kesalahan pasti akan dihukum.
Dalam bab mendidik anak ini, proses awal mendirikan rumah tangga perlu diberi perhatian terutama dalam proses mencari jodoh. Rasulullah s.a.w bersabda: Wanita dikahwini kerana empat perkara, harta, keturunan, kecantikan dan agama. Dapatkanlah wanita yang memiliki agama, jika tidak kamu akan menempah kerugian. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita juga perlu menanamkan konsep ihsan kepada anak-anak. Ihsan di sini bermaksud menanamkan bahawa walaupun kita tidak melihat Allah tetapi Allah sentiasa melihat kita. Dengan cara itu, kita akan terhindar daripada melakukan pelbagai maksiat.
Kita selalu menyebut kepimpinan melalui teladan. Bagaimana tanggungjawab ibu bapa dalam hal ini?
Memang benar. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Wujudkan persekitaran yang menarik di rumah sesuai dengan konsep ‘rumahku syurgaku’.
Gunakan masa yang terluang bersama anak dengan melakukan aktiviti yang boleh membentuk keperibadian mereka. Gunakan teknik sentuhan iaitu memeluk atau menepuk belakang anak semasa bercakap dengan mereka.
Sediakan juga ruang solat untuk sama-sama berjemaah, mentelaah bersama serta ambil berat siapa kawan-kawan mereka dengan menjemput mereka menghadiri majlis kenduri atau hari lahir. Apabila mengenali kawan anak-anak, kita boleh melihat dan mengenali tingkah laku mereka di luar rumah.
Ibu bapa juga perlu menjadikan amalan memeriksa beg anak sambil membantu mereka membuat kerja rumah. Ini secara langsung memberi mesej kepada anak yang kita mengambil berat terhadap mereka. Melalui pemeriksaan begini, kita boleh mengesan bunga-bunga kegiatan kurang sihat seperti merokok di peringkat awal.
Dalam aspek lain, anak-anak juga perlu menyedari mereka juga mempunyai tanggungjawab kepada ibu bapa. Antaranya berbuat kebajikan kepada mereka dan tidak menyakitkan hati ibu bapa.
Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya, Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sudah tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang (perkataan kasar) sekalipun ‘uh’, dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Israk: 23)
Utusan Online




