Membina anak Soleh

attention open in a new windowPDFPrintE-mail

Sunday, 12 August 2007 13:37

 

“Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka ibubapanyalah yang akan membentuknya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi”
(HADITH RASULULLAH)

Anak-anak adalah seperti kain putih. Sebagai ibu-bapa, kitalah yang mencorakkannya. Kitalah yang menentukan apakah warna dan bentuk yang ingin buat atas kain putih tersebut.

Setiap dari kita mengharapkan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh. Untuk melahirkan anak-anak yang soleh, ia memerlukan dua kunci utama:

Pertama: ia harus bermula dari diri kita sendiri sebagai ibubapa. Kedua: pendidikannya harus bermula dari kandungan ibu lagi.

Kunci pertama, kita harus menunjukkan contoh yang baik untuk menjadi ikutan anak-anak kita. Sebagai contoh, apabila kita menyuruh anak kita agar belajar, kita harus bersama-sama dengan mereka membaca dan tidak menonton televisyen. Jika kita tidak mahu anak lelaki kita merokok, kita juga tidak harus merokok. Jika kita tidak mahu anak perempuan kita memakai pakaian yang membuka aurat, kita juga tidak harus memakai pakaian yang membuka aurat.

Tetapi jika sebaliknya berlaku, jika kita menyuruh anak kita melakukan sesuatu sedangkan kita sendiri tidak melakukannya, atau kita melarang anak kita melakukan sesuatu sedangkan kita sendiri melakukannya, maka ia akan mengurangkan sifat hormat anak-anak kita terhadap diri kita. Tentu sekali kita tidak mahu ditegur sebagai 'cakap tak serupa bikin'.

Kunci kedua bagi melahirkan anak-anak yang soleh adalah dengan pendidikan yang bermula dari kandungan itu sendiri, bahkan dari waktu pertama titisan air mani bertemu dengan telur di rahim ibu. Rasulullah s.a.w mendidik kita agar meminta perlindungan dari Allah dengan membaca doa apabila kita mahu melayari bahtera. Jika kita tidak meminta perlindungan dari Allah, syaitan akan mendahului kita dengan mencampakkan benihnya dalam rahim isteri. Maka tidak hairanlah jika ada di kalangan kanak-kanak yang secara semulajadi kasar tabiatnya. Bukan salah kanak-kanak itu tetapi salah ibu bapanya yang tidak mengikut apa yang diajar oleh Islam.

Ketika seorang isteri  mengandungkan anak, pendidikan anak  dikira sudah bermula. Janin dalam perut sudah boleh mendengar bunyi-bunyian, walaupun mereka tidak memahaminya. Ini sudah terbukti dari kajian-kajian sains sekarang ini. Akan tetapi  Allah s.w.t telah memberitahu kita umat Islam sejak 1400 tahun dahulu. Kita tidak perlu menunggu kajian sains untuk membuktikannya.

Firman Allah s.w.t dalam surah As-Sajadah, ayat  23 yang membawa maksud:

Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.